Friday, October 22, 2010

BAYI BUKAN UNTUK DIBUANG

Anak atau zuriat keturunan adalah anugerah Allah subhanahu wata’ala yang merupakan amanah serta kebanggaan bagi ibubapa. Justeru, menjaga kemuliaan zuriat dan keturunan adalah suatu kewajiban. Sebaliknya Allah suhanahu wata’ala mencela ibubapa yang membuang dan membunuh anak atau bayi atas alasan kemiskinan dan untuk mempertahankan maruah diri dan keluarga sepertimana yang dilakukan oleh masyarkat jahiliah yang menanam hidup-hidup anak atau bayi mereka terutama bayi-bayi perempuan.

Perman Allah subnahu wata’ala dalam surah al isra ayat 31:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar”.

Amalan jahiliah tersebut kini berulang lagi, malah lebih dahsyat. Sekiranya masyarakat jahiliah Arab menanam anak perempuan mereka kerana ingin menjaga maruah keluarga dan qabilah, namun dalam kalangan masyarakat yang berbangga dengan kemodenan dan gaya hidupnya yang maju ini, bayi ditinggalkan di merata-rata tempat, di surau, mesjid, dan perhentian bas. Bahkan lebih malang lagi, apabila bayi yang tidak berdosa dibuang dan ditemui mati di dalam sungai, longkang, tong sampah, di dalam semak dan belukar bersama najis dan kotoran. Ada yang mati dibakar dan digonggong jasad kecilnya yang tidak bernyawa itu oleh binatang. Tiada ungkapan yang mampu menggambarkan betapa sedih, pilunya dan marahnya kita terhadap perbuatan yang tidak berperi kemanusiaan ini. Kita tertanya-tanya, apakah telah terpadam kehangatan naluri keibubapaan, sehingga tiada sedetik pun rasa belas kasihan ketika mendengar tangisan bayi-bayi ini.

Ketika kita selesa menuding jari meletakkan kesalahan kepada pihak-pihak tertentu, kes-kes buang bayi menunjukan peningkatan yang ketara dari tahun ke tahun dan menjadi isu yang sentiasa mendapat perhatian di dada-dada akhbar dan media elektronik; umpamanya, pada tahun 2009, sebanyak 79 kes buang bayi direkodkan, berbanding 76 kes pada tahun 2007 di seluruh negara. Sepanjang tempuh tahun 2004 sehingga tahun 2009, sebanyak 485 kes telah dicatatkan dan sebilangan besarnya yang terlibat adalah tergolong dalam kumpulan umur 18 hingga 25 tahun. Menurut Persatuan Peguam Syari’i Malaysia, dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, satu kajian di lembah Kelang mendapati, seorang bayi dibuang setiap 10 hari dan yang lebih membimbangkan kejadian ini tidak hanya berlaku di bandar-bandar besar sebaliknya semakin menular di desa-desa dan luar bandar.

Gaya hidup jenerasi muda masa kini yang cenderong kearah keseronokan duniawi, telah mengheret mereka kekancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Akibat terlalu ghairah mengejar kenikmatan dan keseronokan dunia, ada di kalangan masyarakat yang alpa, sehingga terjebak dengan perbuatan zina dan mengandungkan anak luar nikah. Dalam segala kemudahan yang diusahakan untuk manusia bergaul sesama mereka secara halal, masih ramai yang memilih cara yang haram. Bermula dengan berkenalan di internet dan sms, bertukar mesej perihatin dan nasihat, berpindah kepada ungkapan sayang dan perhatian, berpindah kepada lunjakkan ingin bertemu, bermula dengan makan minum dan ambil angin, diuji dengan sentuhan tangan dan berakhir dengan zina. Namun zina bukan kesudahannya, bahkan permulaan episod serta nasib insan yang lahir hasil hubungan tersebut, samada untuk terus dibiarkan hidup, dibuang atau dibunuh dengan kejam tanpa sempat mengerti apa itu kehidupan.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.~ al Isra : 32

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara, seramai 17,303 orang anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu [2009]. Menurut ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negera, Dato’ Alwi Ibrahim, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Dalam tempuh lima tahun yang lalu sahaja, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu yang beragama islam. Ini tidak terrmasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekiranya kita mengambil kira laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008, terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa nama bapa. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 83 kes setiap hari atau satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.

Zina adalah perbuatan yang keji yang telah ditutup pintunya oleh Allah subhanahu wata’ala, dengan meletakkan hukum-hukum yang menjadi benteng bagi melindung runtuhnya kemuliaan manusia.

Saya berpesan kepada saya sendiri, sahabat handai, kaum muslimin terutama gulungan muda, perkukuhkanlah ‘aqidah, perjelaskanlah pandangan hidup, gaya hidup kita dan pertahankanlah nilai-nilai murni yang mendasari perbuatan kita dengan menjaga ‘aurat dan memelihara kehormatan dalam pergaulan antara jantina.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. ~ at Tahrim : 6

Hari ini kita menyaksikan krisis dan keruntuhan akhlak yang begitu meruncing di kalangan masyarakat. Masalah pergaulan dan seks bebas, budaya keluar malam, peningkatan kes buang bayi, mat rempit, penagihan dadah, kes ragut dan pelbagai jenayah yang semakin berleluasa menyumbang kepada keruntuhan nilai masyakat terutama gulong remaja. Gejala-gejala ini berpunca daripada kecetekan kefahaman dan kerapuhan pegangan agama yang membawa kepada keterlanjuran dalam pergaulan dan seterusnya meruntuhkan asas pembinaan keluarga.

Dalam membendung keruntuhan akhlak, terutamanya kes buang bayi, semua pihak haruslah berganding bahu melaksanakan amar ma’aruf nahi mungkar, di antaranya:

  • . Ibubapa perlu sedar bahawa masa hadapan anak-anak bergantung kepada suasanatarbiah atau didikan dalam rumah tangga yang mereka bina. Jika dipupuk suasana keimanan dan kasih sayang, nescaya Allah suhanahu wata’ala akan mengurniakan kebahagiaan kepada kita serta keluarga di dunia dan akhirat.
  • Semua pihak haruslah memberi penekanan dalam mendidik dan menyeru ahli keluarga dan masyarakat untuk kembali mengamalkan ajaran agama, yang menekan gaya hidup murni menjadi asas penting untuk menangani masalah serius ini. Pelbagai usaha perlu dipertingkatkan agar institusi keluarga dan masyarakat kembali kukuh dan terap nilai-nilai islam dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkah laku remaja.
  • Pihak berkuasa perlulah mengambil langkah tegas untuk membendung pergaulan bebas supaya tidak dianggap sebagai budaya masyarakat kita. Pihak bertanggungjawab pada semua peringkat samada kampung, daerah dan negeri seharusnya mengawal sebarang aktiviti yang membuka ruang kepada berlakunya penyakit sosial seperti pergaulan bebas, hiburan tanpa batas dan gaya hidup yang meruntuhkan keluarga seperti terlibat dengan alkohol, dadah, seks bebas dan sebagainya.

“Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah akan menyoal tiap-tiap pemimpin akan apa yang dipimpinnya. Adakah dia menjaga dengan baik, atau mensia-siakannya. Sehinggalah seorang laki-laki itu akan disoal tentang ahli rumahnya”

Adapun alasan kerana malu, takut kepada ibubapa kerana telah terlanjur, menjaga maruah keluarga, ditinggalkan kekasih begitu saja dan sebagainya tidak membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya. Lebih dahsyat lagi membuang atau membunuh bayi yang telah dilahirkan, tidakkah mereka ini punya setitik belas kasihan di lubuk hati mereka sebagai ibu dan manusia.


Menurut Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan seorang wanita dianggap sebagai muqaddimah dan pintu kepada zina. Berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat seluruhnya.


Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin itu tidak digugurkan sudah tentu bayi itu akan dibuang di tempat-tempat kotor, dibunuh dan ditanam. Ada juga diletakkan di hadapan rumah orang malah masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran tempat buangan bayi.

Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang memilih pengguguran janin. Dalam kes buang bayi ini wanitalah yang menjadi mangsa, kekasih hatinya akan meninggalkan mereka. Saya yakin mereka tahu akibatnya tetapi mereka berterusan melakukannya, tidak pernah serik; dosa, keji, jijik, bodoh, bebal, apa orang kata semuanya dipersetankan asalkan dapat seronok sampai kepuncak gila!!! Di antara wanita yang terlibat ini bukan sebarangan, lulusan pusat pengajian tinggi, dari keluarga terkenal, pelajar peringkat atasan dan paling menyedihkan dari kampung yang damai.

Ingat, perbuatan zina tidak mengenal siapa hatta kelembah pelacuran yang diakui sebagai “kerjaya tertua dunia” (world oldest profession).

Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan. Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.


Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang berguna. Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.

Wallah hu ‘alam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.