Friday, October 29, 2010

Zina dan Status Anak

Pada hari Juma’at 29 Oktober 2010 saya sempat solat jumaat di sebuah masjid di Kuala Terengganu. Khutbahnya sangat menarik dan berkaitan dengan masalah semasa berlaku di negara kita. Saya mengumpul catatan seperti berikut untuk dikongsi bersama dan moga menjadi iktibar kepada kita semua.

ZINA DAN ANAK TIDAK SAH TARAF

Kelahiran seseorang bayi memang dinantikan, khususnya oleh pasangan suami dan isteri. Anaknya adalah anugerah Allah yang tinggi nilainya. Anak-anak akan menjadi jambatan kasih di antara seorang suami dan isteri. Anak-anak adalah perhiasan hidup dan dalam masa yang sama merupakan cabaran ibubapa, bagi menguji sejauh mana keupayaan dan kesabaran mereka dalam mendidik anak-anak. Alangkah bahagianya mereka yang mempunyai anak dan hidup dalam suasana aman dan damai, tetapi keadaan sebaliknya bagi sesetengah pasangan yang tidak mempunyai atau belum dikurniakan zuriat.

Syari’at islam menganjurkan adab yang tinggi ketika menyambut kelahiran seseorang bayi, didahului dengan bisikan azan dan iqamah pada telinga kanan dan kiri sebagai kalimah-kalimah awal yang didengari, setrusnya ditahni’, diberi nama-nama yang baik, dicukurkan rambut dan di’aqiqahkan sebagai tanda kesyukuran kepada illahi atas anugerah zuriat keturunan ini. Malangnya pada hari ini, sesetengah bayi tidak lagi ditunggu-tungu dan disambut kelahirannya dengan penuh kegembiraan, tetapi sebaik sahaja dilahirkan kedunia terus dibuang dan dibunuh tanpa belas ihsan akibat keterlanjuran sesetengah pasangan yang hanyut dilambung gelora nafsu, sehingga karam dalam penzinaan yang menghinakan.

Maka kesan dan akibat dari dosa keserakahan nafsu mereka, ditanggung oleh anak-anak yang murni jiwanya ini, yang mungkin tertanya-tanya; “wahai ibu, wahai bapa, apakah kesalahan kami?” Tidakkah mereka sedar bahawa mereka tetap berdosa dan telah meng’aibkan diri mereka disisi Allah, walaupun cuba ditutup dari pandangan manusia. Bertaubatlah kepada Allah yang maha pengampun atas kelanjuran tersebut, janganlah lipat gandakan dosa dan kemurkaan Allah subhanahu wata’ala, dengan membuang dan membunuh anak-anak yang tidak berdosa.

Perman Allah suhanahu wata’ala dalam surah Al-Isra ayat 32 dan 33:

Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

Anak yang lahir dari hubungan yang tidak sah, menanggung status atau kedudukan sebagai ‘anak haram’, ‘anak luar nikah’ atau ‘anak tidak sah taraf’. Undang-undang syara’ telah menetapkan beberapa sebab seseorang anak itu pada status anak tidak sah taraf, di antaranya:

  1. anak yang lahir di luar nikah samada hasil zina atau rogol.
  2. anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dari tarikh perkawinan. Contohnya, zina yang membawa kelahiran anak (yang cukup sifat) tidak mencukupi tempuh enam bulan, dikira dari tarikh kelahiran bayi berbanding tarikh ‘akad nikah atau tarikh persetubuhan pertama selepas ‘akad nikah.
  3. anak yang telah disabitkan berlakunya ‘li’an’ iaitu apabila seorang suami secara bersumpah menafikan anak yang dalam kandungan isterinya itu bukan anaknya. Setelah mahkamah syari’ah mensabitkan ‘li’an’, anak itu disifatkan sebagai anak tidak sah taraf. Pasangan suami isteri itu pula hendaklah bercerai buat selama-lamanya. Mereka tidak boleh ruju’ atau berkahwin semula.

Anak yang tidak sah taraf adalah anak yang didaftarkan kelahirannya tanpa maklumat bapa. Pada tahun 2007 negeri Terengganu sahaja telah merekodkan sejumlah 531 kanak-kanak ( 277 lelaki dan 254 perempuan) dari keturunan Melayu telah didaftarkan sebagai anak tanpa maklumat bapa. Manakala pada tahun 2008, jumlah ini bertambah seramai 199 orang, menjadikan anak tidak sah taraf seramai 730 orang (389 lelaki dan 341 perempuan) atau 37.48%.

Jika diambil kira semua keturunan yang beragama islam, pada tahun 2007 terdapat seramai 576 orang kanak-kanak (298 lelaki dan 278 perempuan), pada tahun 2008 seramai 799 orang kanak-kanak (425 lelaki dan 374 perempuan) telah didaftarkan sebagai anak tanpa maklumat bapa.

Secara keseluruhannya, bagi tempuh tahun 2007 hingga 2008, terdapat pertambahan sejumlah 223 orang atau 36.72% anak tidak sah taraf di negeri Terengganu sahaja. Bayangkanlah berapa pula jumlahnya bagi seluruh negara. Dari fakta ini kaum wanita (ibu) yang mengambil tugas ‘tanggungjawab’ sepenuhnya, kaum lelaki (bapa) hilang entah kemana!!!, tiada catatan pada rekod pendaftaran. Berhati-hatilah anda yang dipanggil wanita, fikir banyak kali hatta beribu-ribu kali sebelum terlanjur.

Anak-anak yang tidak sah taraf terpaksa menanggung beberapa kesan atau implikasi dari segi hukum, psikologi dan sosial, di antaranya:

  1. Nisab: hari ini kita dapati ramai lelaki yang menyebabkan kehamilan di luar nikah berusaha untuk membinkan atau membintikan anak-anak kepada mereka dan mengaku sebagai bapa kepada anak-anak tersebut, sedangkan anak-anak itu tidak mencukupi tempuh enam bulan; adalah haram anak-anak tidak sah taraf dinisab atau dibinkan kepada lelaki yang menyebabkan kehamilan pasangannya itu. Anak-anak ini hanya layak dinisabkan pada ibunya sahaja.
  1. Pusaka: anak tidak sah taraf tidak boleh mempersakai harta suami ibunya, tetapi dia boleh mempusakai harta ibunya sahaja.
  1. Wali: sekiranya anak tidak sah taraf itu perempuan, maka dia tidak boleh diwalikan perkahwinannya oleh lelaki yang menyebabkan kelahirannya. Sekiranya anak itu lelaki, maka dia tidak boleh menjadi wali kepada saudara-saudara perempuannya yang lain. Kerana hubungannya dengan saudara-saudara perempuan itu hanya sebagai saudara seibu sahaja bukan seibu sebapa.
  1. Aurat: jika anak itu perempuan mereka dikira sebagai ‘ajinabi’ yang mempunyai batas aurat kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya.

  1. Hak penjagaan anak tidak sah taraf adalah semata-mata kepada ibunya dan saudara-mara ibunya sahaja, bukan lelaki yang mengaku sebagai bapa.

Selain kesan yang ditanggung dari segi hukum syara’, anak tidak sah taraf ini juga akan menanggung kesan emosi dan tekanan psikologi yang serius sepanjang kehidupan mereka, apabila mereka menyedari status diri mereka berdasarkan sijil kelahirannya. Bayangkanlah tekanan perasaan yang akan ditempuhi oleh anak-anak pada usia kecil ini terutama ketika menjejakkan kaki kealam persekolahan; bertambah lagi bila dewasa nanti.

Allah subhanahu wata’ala melimpahkan kerahmatan yang sangat luas bagi manusia melalui agama islam. Justeru, dibuka pintu taubat bagi yang terlanjur dan disediakan beberapa jalan penyelesaian yang boleh meringankan beban tanggungan anak-anak yang tidak berdosa ini:

  1. Berkahwinlah dengan seberapa segera, bagi membolehkan anak yang sedang dikandung, dinisabkan kepada lelaki yang menyebabkan kehamilan. Para ibubapa pula hendaklah mengenepikan adat kebiasaan dalam perkahwinan dan bersegeralah merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam atau pegawai agama daerah, yang akan membantu pasangan terlibat bagi mendapat kebenaran berkahwin dengan segera. Dengan itu pasangan terlibat tidak perlu kahwin lari atau berkahwin di luar negara melalui sindikat atau jurunikah yang tidak bertauliah yang menjanjikan bahawa tarikh ‘akad nikah dibelakangkan (backdated) bagi membolehkan bayi yang bakal dilahirkan dibin/bintikan kekapa lelaki terlibat. Ingatlah, penipuan sedemikian tidak dapat diterima dari segi hukum syara’.
  1. Berusahalah menjadikan anak/bayi itu sebagai saudara susuan. Jika tidak, anak tidak sah taraf tetap ajinabi dan tidak akan menjadi ‘muhrim’ kepadanya.

Akhirnya, marilah kita berusaha untuk mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepada perlakuan zina seperti pergaulan tanpa batas, duduk berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan yang ajinabi kerana ketiganya adalah syaitan, berkhalwat dan sebagainya.

Allah berperman pada Surah An Noor ayat 2 dan 3:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman”.

Wallahu ‘alam.

Sumber: Khutbah Jumaat 29 Oktober 2010, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.