Friday, September 30, 2011

HADITH MENGHARGAI IBUBAPA

Koleksi Pok Nik dari Abjad Malaysia

1) Dari Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As Sa'idy ra. berkata: suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah S.A.W. kemudian tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dari Bani Salimah dan bertanya:

2) "Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?"

3) Baginda S.A.W. bersabda, "Ya, masih ada iaitu mensolatkan jenazahnya, memintakan ampun buat keduanya, melaksanakan janji-janjinya setelah keduanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh disambungnya kecuali dengan keduanya, dan memuliakan sahabat keduanya." (HR Abu Daud)

4) Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.; "Manakah amal yang lebih utama?", Rasulullah s.a.w. bersabda; "Sembahyang dalam waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjuang di jalan Allah." - Sahih Bukhari

5) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik mungkin? Rasulullah s.a.w bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya: Kemudian siapa? Rasulullah s.a.w bersabda: Kemudian ayahmu.

6) Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah,mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. Semasa Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti dari menyebut hadis tersebut .

7) Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta .

8) Rasulullah bersabda, maksudnya; "Seseorang anak tidak dapat membalas jasa orang tuanya sehingga dia mendapati orang tuanya menjadi hamba sahaya kemudian dibeli dan dimerdekakan mereka." - (Riwayat Muslim dan Abu Daud).

9) Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang ingin dipanjangkan umur dan ditambah rezekinya maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambungkan silaturrahim." - (Riwayat Ahmad).

10) Daripada Malik bin Zurarah bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Memohon keampunan untuk ibu bapa yang meninggal dunia daripada seorang anak, termasuk perbuatan berbakti." - (Riwayat Ibnu Najar).

11) Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya seseorang akan diangkat darjatnya di syurga maka dia berkata: Wahai Tuhanku, dari manakah semua ini untukku?" Maka dijawab: "Daripada permintaan keampunan anakmu untukmu." - (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Baihaqi).

12) Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua orang tuanya atau seorang daripada mereka pada setiap Jumaat, nescaya akan diampunkan dosanya dan ditulis sebagai orang yang berbakti (kepada ibu bapanya)." - (Riwayat Tabrani).

13) Daripada Aisyah bahawa Rasulullah bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat kepada wajah ibu bapa, al-Quran dan kepada laut." - (Riwayat Abu Nuaim) dan ditambah dengan lafaz "Melihat kepada Kaabah adalah ibadah". - (Riwayat Abu Daud).

14) Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: Apakah saya mesti meminta izin ibu saya jika masuk ke dalam biliknya?" Baginda menjawab: "Ya." Dia bertanya lagi: "Tidak ada lagi selain saya yang melayaninya." Jawab baginda: "Apakah kamu suka melihat ibumu tidak berpakaian?" Lelaki itu menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka minta izinlah kepada ibumu." - (Riwayat Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

15) Diriwayatkan oleh Aisyah, katanya: "Aku belum pernah melihat seorang pun yang wibawa dan kelakuannya seperti Rasulullah terhadap Fatimah puterinya. Jika masuk kepada Rasulullah, dia bangkit kepadanya, menciumnya dan mempersilakannnya duduk di tempat duduk baginda. Dan jika nabi masuk kepadanya dia bangkit daripada tempat duduknya, mencium baginda dan mempersilakan baginda duduk di tempat duduknya." - (Riwayat Abu Daud, Nasai dan Termizi).

16) Daripada Jabir bahawa seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak tetapi ayahku ingin menguasai hartaku." Rasulullah bersabda, maksudnya: "Kamu dan hartamu milik ayahmu." - (Riwayat Ibnu Majah).

17) Daripada Ibnu Umar, katanya: "Seorang lelaki datang mengadu mengenai bapanya maka dia berkata: Sesungguhnya dia (bapaku) mengambil hartaku." Rasulullah menjawab: "Kamu dan hartamu daripada hasil jerih payah ayahmu." - (Riwayat Tabrani dalam Al-Kabir).

18) Daripada Anas bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Siapa yang menjadikan ibu bapanya redha, maka dia menjadikan Allah redha dan siapa yang menjadikan ibu bapanya marah maka dia telah menjadikan Allah marah (kepadanya)." - (Riwayat Ibnu Najar dalam Tarikh Baghdad).

19) Abu Hurairah berkata, Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang membayar hutang ibu bapanya sesudah mereka meninggal dunia dan menunaikan nazar mereka dan tidak menyebabkan cela bagi mereka, maka dia ditulis sebagai orang yang berbakti walaupun dia adalah orang yang pernah menderhakai ibu bapanya." - (Riwayat Ibnu Asakir).

20) Anas berkata, Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya seseorang yang ditinggal mati oleh ibu bapanya atau seorang daripada mereka, maka dia adalah orang yang menderhakai ibu bapanya lalu dia tetap mendoakan mereka dan memohon keampunan bagi mereka sehingga Allah menulisnya sebagai orang yang berbakti" (riwayat Baihaqi dalam Syu'bul Iman).

21) Ibnu Abas berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling pedih seksaannya pada hari kiamat adalah orang yang membunuh nabi atau orang yang dibunuh oleh nabi atau membunuh seorang daripada ibu bapanya dan pembuat patung serta orang berilmu yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya." - (Riwayat Baihaqi)

22) Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu ia pagi-pagi ia taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. redha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya sehingga mendapat redha dari keduanya. Ditanya: Meskipun orang tua itu zalim? Jawabnya: Meskipun zalim. Dan didalam hadis marfu' ada tambahan: Dan tiada pagi-pagi ia durhaka (menyakiti hati) orang tuanya melainkan Allah s.w.t. membukakan baginya dua pintu neraka dan jika hanya satu maka satu."

23) Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Atha' berkata: "Nabi Musa a.s. berdoa: "Ya Tuhan, pesanlah kepadaku." Firman Allah s.w.t.: "Aku wasiat supaya tetap dengan Aku." Nabi Musa a.s. berkata lagi: "Ya Tuhan, pesanlah kepadaku." Firman Allah s.w.t.: "Aku pesan kepadamu, taatlah kepada ibumu." Kemudian berkata Nabi Musa a.s. lagi: "Ya Tuhan, pesanlah kepadaku." Jawab Allah s.w.t.: Aku pesan supaya taat kepada ibumu." Musa a.s. berkata: "Wasiat kepadaku." Allah s.w.t. berfirman: Aku wasiat kepadamu, taatlah kepada ayahmu."

24) Abdullah bin Umar r.a. berkata: "Seorang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w dan berkata: "Saya ingin berjihad (perang fisabilillah)." Nabi Muhammad s.a.w. bertanya: "Apakah kedua ibu bapamu masih hidup?" Jawabnya: "Ya, kedua-duanya." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Didalam melayani keduanya harus berjihad."

Hadis ini menunjukkan bahawa taat bakti kepada orang tua itu lebih besar daripada jihad fisabilillah, sebab menyuruh orang itu berbakti kepada orang tua dan berjihad. Kerana itu maka seseorang tidak boleh keluar untuk juhad jika tidak diizinkan oleh kedua orang tuanya selama panggilan jihad itu tidak umum, maka tetap taat kepada orang tua lebih afdhal dari jihad fisabilillah.

25) Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Ali dari ayahnya dari neneknya berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Andaikan ada kalimah yang lebih ringan dari kata “Ceh” untuk dijadikan dasar serendah-rendahnya durhaka pada orang tua nescaya akan dilarang oleh Allah s.w.t. untuk mengatakannya, kerana itu seorang yang durhaka pada orang tuanya boleh berbuat apa yang diperbuat maka ia tidak akan masuk syurga, sebaliknya seorang yang bakti pada orang tuanya boleh berbuat apa saja maka tidak akan masuk neraka."

26) Abul-Laits berkata: "Andaikan Allah s.w.t. tidak menyebut kewajipan berbakti kepada kedua orang tua itu dalam al-quran, dan tidak ditekankan nescaya dapat dimengertikan oleh akal bahawa taat kepada kedua orang tua itu wajib, kerana itu diwajibkan seorang yang berakal harus mengerti kewajipannya terhadap kedua orang tuanya, lebih-lebih Allah s.w.t. telah menekan dalam semua kitab yang diturunkan iaitu Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran, juga telah diwahyukan kepada semua Nabi, Rasul bahawa redha Allah s.w.t. tergantung pada redha kedua orang tua dan murka Allah s.w.t. tergantung pada murka kedua ayah bonda."

27) Ada penjelasan bahawa tiga ayat turun bergandengan dan Allah s.w.t. tidak menerima yang satu tanpa gandingannya iaitu seperti firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi):

A) Aqimusholata wa atuszakat (Yang bermaksud) Tegakkan sembahyang dan keluarkan zakat, maka siapa solat tanpa zakat tidak akan diterima oleh Allah s.w.t.

B) Athi'u Allaha waathi'urRasul (Yang bermaksud) Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasulullah, maka tidak akan diterima taat kepada Allah s.w.t. jika tidak taat kepada Rasulullah s.a.w.

C) An usykur li walidaika (Yang bermaksud) Syukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, maka siapa yang syukur kepada Allah s.w.t. dan tidak syukur kepada kedua orang tua tidak diterima.

28) Dan dalilnya ialah Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya kutukan kedua orang tua itu memutuskan asal anak itu jika anak itu durhakai keduanya. Maka siapa merelakan kedua ayah bondanya bererti telah merelakan Tuhannya dan siapa mendapatkan kedua ayah bondanya atau salah satunya, lalu tidak taat kepada keduanya sehingga masuk neraka bererti telah dijauhkan oleh Allah s.w.t."

29) Dan ketika Rasulullah s.a.w. ditanya: "Apakah amal yang utama?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Sembahyang pada waktunya, kemudian taat kepada kedua ibu bapa kemudian jihad fisabilillah."

30) Farqad Assinji berkata saya telah membaca didalam kitab: "Bahawa anak tidak boleh dibicarakan dimuka orang tuanya kecuali dengan izinnya dan tidak boleh jalan dimukanya atau dikanan kirinya kecuali jika dipanggil maka ia harus menyambut dan harus berjalan dibelakang keduanya sebagaimana hamba sahaya dibelakang majikannya."

31) Seorang datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: "Ya Rasulullah, ibuku kini mengigau di tempatku, maka sayalah yang memberi makan minum dengan tanganku juga mewudhu'kannya, dan mengangkat di atas bahuku, apakah yang demikian itu bererti aku telah membalas jasanya?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Belum, belum satupun dari jasa-jasanya dari jasa-jasanya (satu peratus) tetapi engkau telah berbuat baik dan Allah s.w.t. akan memberi pahala kepadamu yang besar dan banyak terhadap amalanmu yang sedikit."

32) Hisyam bin Urwah dari ayahnya dari neneknya berkata: "Terulis di dalam hikmat: "Terkutuk orang yang mengutuk ayahnya, terkutuk orang yang mengutuk ibunya, mal'un (terkutuk) siapa yang merintangi agama Allah s.w.t., terkutuk siapa yang menyesatkan orang buta dari jalanan, terkutuk siapa yang menyembelih menyebut nama selain nama Allah s.w.t., terkutuk siapa yang merosak tanda-tanda dijalan bumi ini atau batas-batas tanah."

33) Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa ialah memaki ayah ibunya." Ketika ditanya: "Bagaimanakah seorang memaki ayah ibunya?" Jawab Rasulullah s.a.w.: "Memaki ayah lain orang lalu dibalas maki ayahnya atau memaki ibunya, maka dibalas dimaki ibunya."

34) Abban dari Anas r.a. berkata: "Ada seorang pemuda bernama Alqomah dimasa Rasulullah s.a.w. Pemuda ini rajin ibadat dan banyak sedekah, tiba-tiba ia sakit dan sangat berat sakitnya, maka isterinya menyuruh orang memanggil Rasulullah s.a.w. dan menyatakan bahawa suaminya sakit keras didalam keadaan nazak sakaratal maut dan saya ingin menerangkan kepadamu keadaannya. Maka Rasulullah s.a.w. menyuruh Bilal, Ali, Salman dan Ammar r.a. supaya pergi ketempat Alqomah dan memperhatikan bagaimana keadaannya dan ketika telah sampai kerumah Alqomah mereka langsung masuk kepada Alqomah dan menuntunnya supaya membaca: Laa ilaha illallah, tetapi lidah Alqomah bagaikan terkunci, tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah itu, ketika para sahabat itu merasa bahawa Alqomah pasti akan mati, mereka menyuruh Bilal supaya pergi memberutahu hal itu kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. langsung bertanya: "Apakah ia masih mempunyai ibu dan ayah?" Jawabnya:

"Ayahnya telah meninggal, sedang ibunya masih hidup tetapi terlalu tua." Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Bilal: "Ya Bilal, pergilah kepada ibu Alqomah dan sampaikan kepadanya salamku, dan katakan kepadanya: JIka kau dapat berjalan pergi kepada Rasulullah s.a.w., dan jika tidak dapat maka Rasulullah s.a.w. akan datang kesini." Jawab ibu Alqomah: "Sayalah yang lebih layak pergi kepada Rasulullah s.a.w. Lalu ia mengambil tongkat dan berjalan hingga masuk kerumah Rasulullah s.a.w. dan sesudah memberi salam ia duduk didepan Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah s.a.w. bertanya: "Beritakan yang benar-benar kepadaku, jika kau dusta kepada ku nescaya akan turun wahyu memberitahu kepadaku, bagaimanakah keadaan Alqomah?" Jawab ibu Alqomah: "Alqomah rajin ibadat sembahyang, puasa dan sedekah sebanyak-banyaknya sehingga tidak diketahui berapa banyaknya." Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Lalu bagaimana hubunganmu dengan dia?" Jawab ibu Alqomah: "Saya murka kepadanya." Rasulullah s.a.w. bertanya: "Mengapa?" Jawab ibu Alqomah: "Kerana ia mengutamakan isterinya lebih daripadaku dan menurut isterinya kepadaku dan menentangku."

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: ""Murka ibunya, itulah yang mengunci (menutup) lidahnya untuk mengucap dua kalimah syahadah." Kemudian Rasulullah s.a.w. menyuruh Bilal supaya mengumpul kayu sebanyak-banyaknya untuk membakar Alqomah dengan api itu. Ibu Alqomah bertanya: "Ya Rasulullah s.a.w., puteraku, buah hatiku akan kau bakar dengan api di depanku? bagaimana akan dapat menerima hatiku?" Rasulullah s.a.w. bersabda: " "Hai ibu Alqomah, siksaan Allah s.w.t. lebih berat dan kekal, kerana itu jika kau ingin Allah s.w.t. mengampunkan dosanya, maka relakan ia (kau harus redha padanya), demi Allah s.w.t. yang jiwaku ada ditanganNya tidak akan berguna sembahyang, sedekahnya selama engkau murka kepadanya." Lalu ibu Alqomah mengangkat kedua tangan dan berkata: "Ya Rasulullah, saya mempersaksikan kepada Allah s.w.t. dilangit dan kau ya Rasulullah, dan siapa yang hadir ditempat ini bahawa saya telah redha kepadanya."

Maka langsung Rasulullah s.a.w. menyuruh Bilal pergi melihat hal keadaan Alqomah, apakah sudah mengucap Laa ilaha illallah atau tidak, khuatir kalau-kalau ibu Alqomah mengucapkan itu hanya kerana malu pada Rasulullah s.a.w. dan tidak pada hatinya. Apabila Bilal sampai dipintu rumah Alqomah tiba-tiba terdengat suara Alqomah membaca Laa ilaha illallah. Lalu Bilal masuk dan berkata: "Hai orang-orang, sesungguhnya murka ibu Alqomah itu yang menutup lidahnya untuk mengucap dua kalimah syahadah dan redhanya kini melepaskan lidahnya, maka matilah Alqomah pada hari ini." Maka datanglah Rasulullah s.a.w. dan menyuruh supaya segera dimandikan dan dikafankan, lalu disembahyangkan oleh Rasulullah s.a.w. Dan sesudah dikuburkan Rasulullah s.a.w. berdiri diatas tepi kubur sambil berkata: "Hai sahabat Muhajir dan Anshar, siapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya maka ia terkena kutukan (laknat) Allah s.w.t. dan tidak diterima daripadanya ibadat fardhu dan sunatnya."

Ibu Abbas r.a. ketika mengertikan ayat (Yang berbunyi): Wa qodho rabbuka alla ta buda illa iyyaahu, wabil walidaini ihsana, imma yablughanna indakal kibara ahaduhuma au kilahuma fala taqul lahuma uf wala tanharhuma waqul lahuma qoulan karima. (Surah Al Isra ayat 23) (Yang bermaksud) Tuhanmu telah menyuruh supaya kamu jangan menyembah (mengesakan) selain padaNya. Dan terhadap kedua ibu bapa harus berbakti (taat dan baik) apabila telah tua salah satunya atau keduanya disisimu, maka jangan menunjukkan sikat atau sikap jemu atau berkata: Cih, kepada keduanya, umpama jika kau samapi membuang kencing atau najis ibu atau bapa, maka jangan kau tutup hidungmu dan jangan muram mukamu sebab keduanya telah mengerjakan semua itu dimasa kecilmu, dan jangan membentak keduanya dan berkatalah dengan lemah lembut, sopan santun, ramah tamah dan hormat.

35) Ibu Abbas r.a. ketika mengertikan ayat (Yang berbunyi): Wakh fidh lahuma janahadzdzulli minarrahmati, waqul Robbir hamhuma kama robbayani shorghira. (Surah Al Isra ayat 24) (Yang bermaksud) Dan rendahkan dirimu kepada keduanya serendah-rendahnya dan doakan keduanya: "Ya Tuhan, Kasihanilah kedua ibu bapaku sebagaimana keduanya telah memeliharaku dimasa kecil.

36) Mengenai kewajipan terhadap keduanya di masa hidup hingga mati, dengan selalu mendoakan untuk keduanya sesudah matinya. Seorang ulama tabi'in berkata: "Siapa yang mendoakan kedua ibu bapanya tiap hari lima kali bererti telah menunaikan kewajipabnya terhadap kedua ibu bapanya." Sebab Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): "An usy kurli wali walidaika, ilayyal mashir. (Yang bermaksud): "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepadaKu kau akan kembali.

37) Bersyukur kepada Allah s.w.t. dan mengerjakan sembahyang lima waktu tiap hari, maka syukur terhadap ibu bapa juga harus lima kali tiap hari. Firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi): " Robbukum a'lamu bima fi nufusikum in takunu shalihina fa innahu kana lil awwabina ghafura. (Yang bermaksud): "Tuhanmu lebih mengetahui apa yang didalam hatimu, jika kamu benar-benar baik (solih) maka sesungguhnya Tuhan itu terhadap orang yang salah lalu kembali taubat, ia maha penganmpun. (Surah Ali-Isra ayat 25)

38) Hak yang harus dilaksanakan oleh anak terhadap ibu dan ayah ada sepuluh iaitu:

a) Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan

b) Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.

c) Jika berhajat bantuan harus dibantu

d) Menyambut panggilannya

e) Mentaati semua perintahnya asalkan tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (Kasari orang) (itupun kena tolak dengan baik)

f) Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan

g) Tidak boleh memanggil nama kecilnya (Jambal/ gelaran)

h) Jika berjalan harus di belakangnya

i) Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri

j) Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya Sebagaimana doa Nabi Nuh a.s. dan Nabi Ibrahim a.s. (Yang berbunyi): "Robbigh fir li waliwalidayya robbanagh fir li waliwalidayya wa lil muminin wal mu'minati yauma yaqumul hisab. (Yang bermaksud): "Ya Tuhan kami, ampunkan kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum muslimin pada hari perhintungan hisab/hari kiamat.

k) Seorang sahabat berkata: "Tidak suka mendoakan kedua orang tua itu mungkin menyebabkan kesulitan penghidupan anak." "Dan apakah mungkin memuaskan orang tua yang telah mati?" beliau ditanya. Jawabnya: " Ya, dengan tiga macam iaitu:

l) Dia sendiri menjadi orang soleh sebab menyenangkan kedua orang tuanya

m) Menghubungi keluarga dan sahabat-sahabat kedua orang tuanya

n) Membaca istighfar dan mendoakan serta bersedekah untuk kedua orang tuanya itu.

o) Al-Ala' bin Abdirrahman dari ayahnya dari Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: " Jika mati anak Adam putus (terhenti) semua amal perbuatan (kegiatannya), kecuali tiga macam iaitu:

Sedekah jariah yang berjalan terus (wakaf-wakarnya) - Ilmu yang berguna (yang diajarkan sehingga orang-orang melakukan ajarannya) - Anak yang soleh yang selalu mendoakan pengampunan untuknya

p) Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: " Jangan memutus hubungan pada orang yang dahulu kawan baik pada orang tuamu, nescaya akan padam nur cahayamu." Seorang dari suku Bani Saliman datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: "Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada jalan untuk berbakti pada keduanya sesudah mati itu?" Jawab Nabi muhammad s.a.w.: "Ya, membaca istighfar untuk keduanya dan melaksanakan wasiat keduanya dan menghormati sahabat-sahabat keduanya dan menghubungi keluarga dari keduanya”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.